Posted by : Unknown
20 February 2014
KENYATAAN MEDIA
BERKENAAN ISU PUSAT TAHFIZ AMAL DI YAN KEDAH
Pertamanya Pusat tahfiz Amal Jalan Kuala Kedah Yan Batu 17 ini telah kita kenalpasti bernaung dibawah
ajaran Azhar bin Wahab atau kita kenali sebagai ajaran Al-Mansur.
Kebanyakan negeri juga telah memfatwakannya sebagai sesat dan
menyeleweng termasuk negeri Kedah yang telah memfatwa dan mewartakannya
sebagai bercanggah dan menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya
dengan taktik kumpulan ini yang menggunakan nama Pusat Tahfiz Amal bagi
membuat jualan dan mengutip derma kerana pada hakikatnya mereka bukan
sahaja telah mengeksplotasi kanak-kanak malah turut mencabul hak
kanak-kanak tersebut bagi mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Bagi
mereka yang benar-benar ingin membuat amal ataupun berderma, carilah
saluran yang diakui sahih kerana dibimbangi derma kita itu nanti akan
memberi sumbangan kepada kelangsungan sebuah kumpulan yang menyeleweng
dan juga mempergunakan kanak-kanak.
Kita juga mendapati mereka
telah memanipulasi para pelajar untuk melakukan kutipan derma dengan
berselindung di sebalik menjalankan jualan amal atas dasar kononnya ia
merupakan falsafah akademik bagi mempelajari nilai-nilai Islam secara
praktikal. Inilah hakikat pembohongan terbesar mereka terhadap agama
demi keuntungan peribadi yang mesti kita banteras bersama-sama.
Akal
yang waras dapat menilai sejauh mana kebenaran kumpulan ini, mana
mungkin seorang penagasas sekolah tahfiz mengamalkan hidup sosial
sebegitu, menjadi penyanyi dan mengeluarkan album. Justeru, masyarakat
harus sedar dan tidak terus berderma kepada pusat amal ini yang kononnya
bagi bagi kutipan derma kanak-kanak agar tidak menjadi kelangsungan
kepada kumpulan ini.
Tindakan oleh pihak berkautoriti hanya
akan berkesan sekiranya masyarakat bersama-sama tidak menyokong atau
menghulurkan bantuan kepada kumpulan ini.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
19 Februari 2014