Posted by : Salam Yahya 11 March 2013

Kenaikan Gaji Tahunan 


PUTRAJAYA — Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.

“Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan ‘Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020′, di sini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST). Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.

“Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa. “Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Najib berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun.

“Ia akan memanfaatkan lebih 17,000 penjawat awam yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat itu akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan secara prinsipnya turut bersetuju bagi melunaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

“Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas sewajarnya.

“Skim perkhidmatan dalam kelompok gred jawatan dan gred gaji satu hingga sepuluh akan dinaik taraf ke gred jawatan atau gred gaji yang setaraf dengan kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR),” katanya. Skim perkhidmatan yang terlibat antaranya ialah Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3.

“Dengan penambahbaikan skim perkhidmatan yang dijangka selesai akhir tahun ini, daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya lebih baik dan peningkatan gred gaji,” katanya.

Sementara itu, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan, melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong pegawai dan Pembantu Galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2

BERNAMA

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Tourist

Google+ Followers

Followers

Tabung Khairat

.

Shout Here

Rajin Komplen

Powered by Blogger.

- Copyright © 2013 AL - alamS Legacy -Metrominimalist - Designed for alamS Legacy -