- Back to Home »
- Kisah Audit Negara Yang Mengaibkan
Posted by : Unknown
08 October 2013
JIJIK dan mengaibkan. Tidak kira apa punca kehilangan
berbilion-bilion ringgit, sama ada akibat kecuaian, keputusan yang
dibuat secara cincai, kekurangan kemampuan, kebodohan, pecah amanah atau
lebih buruk, korupsi, hakikat ini terlalu pedih untuk ditanggung oleh
rakyat Malaysia.
Setiap tahun kita membaca tentang perkara-perkara yang buruk namun
tidak banyak khabar yang kita terima tentang hukuman yang dikenakan
terhadap pihak yang terlibat. Maka, siapa boleh mempersalahkan para pembayar cukai jika mereka
menganggap laporan Ketua Audit Negara dibentangkan setiap tahun di
Parlimen hanya semata-mata kerana ia diwajibkan oleh
undang-undang?Selain debat panas, tidak banyak yang boleh dilakukan.
Banyak di kalangan kita yang menganggap para kakitangan awam yang
degil tidak gentar tentang akibat daripada tindakan mereka meluluskan
pembelian barangan pada harga yang terlalu tinggi misalnya. Bagaimana hendak dijelaskan pembelian 20 jam dinding pada harga
RM3,810 setiap satu sedangkan harga sebenarnya hanya RM100 untuk satu
unit?
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberikan jawapan
mudah “bahawa lembaga perolehan memberi kontrak kepada kontraktor yang
menawarkan nilai terbaik untuk wang (yang dibelanjakan).”
Ya, itulah jawapan mereka – “nilai terbaik untuk wang.” Kementerian
itu juga memberitahu Ketua Audit Negara bahawa “kementerian telah
mendapatkan penilaian teknikal terbaik untuk membandingkan harga barangan
yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat secara atas talian sebelum
membuat keputusan.”
Saya tidak rasa ada sesiapa memerlukan “penilaian teknikal” untuk
membeli 20 jam dinding, dan kita merasa gerun memikirkan bahawa
“penilaian teknikal terbaik” telah menghasilkan keputusan untuk membeli
jam-jam berkenaan pada harga yang begitu tinggi!
Sesungguhnya, semua anggota lembaga berkenaan perlu dipecat kerana
yang diperlukan hanya cara berfikir yang biasa. Bagaimanapun, nampaknya
langkah memecat pegawai-pegawai di peringkat itu bukan sesuatu yang
biasa dibuat. Kita diberitahu bahawa jam-jam berkenaan “berjenama”,
kerana itu harganya berbeza.
Tapi bagaimana pula dengan tiga mesin pengimbas yang dibeli dengan
harga RM14,670 setiap satu, 70 kali ganda lebih tinggi daripada harga
yang dianggarkan, iaitu pada harga RM200 setiap satu?
Di mana sebenarnya rasa tanggungjawab, maruah, kebertanggungjawaban
dan kredibiliti pihak terbabit? Bagaimana pembaziran dana secara
terang-terangan sedemikian boleh dibiarkan terjadi saban tahun?
Laporan tentang kakitangan Kementerian Kesihatan yang mengemukakan
tuntutan meragukan berjumlah antara RM550,000 hingga RM600,000 untuk
pakaian dan kasut jelas perlu disiasat oleh Suruhanjaya PencegahanRasuah
Malaysia (SPRM). Laporan audit mendedahkan sebanyak 1,014 kakitangan kementerian itu
di 10 pusat terbabit mengemukakan tuntutan berkenaan dengan menggunakan
bukti pembayaran yang meragukan. Premis-premis yang disebutkan dalam
resit pembayaran tidak wujud sama sekali.
Selain itu, terdapat kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta dalam
masa tiga tahun, termasuk 136 pasang gari, 44 pucuk senjata api, 27 buah
kenderaan, 26 buah walki-talkie dan 22 buah radio. Jika diambil kira dari segi nisbah, terdapat 100,000 anggota polis
dalam negara ini, satu jumlah yang besar, maka angka walkie-talkie dan
radio yang hilang itu adalah kecil. Anggota polis adalah manusia biasa dan kehilangan peralatan berkenaan
dalam persekitaran operasi yang sukar bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Kita juga sedar bahawa anggota polis mempertaruhkan nyawa merekasetiap hari untuk menjaga keselamatan jalanan dan rumah kita. Tetapi kehilangan senjata api adalah sesuatu yang serius, apatah lagi
kadar jenayah berat kebelakangan ini dikatakan meningkat keranasenjata
api mudah diperolehi. Sudah pasti kita tidak mahu penjenayah menggunakan
senjata api miliki pihak polis. Kita juga ingin tahu bagaimana 27 buah kereta polis boleh hilang. Semoga kita bukan hanya mendapat jawapannya, tetapi juga melihat
tindakan jelas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke
atas kehilangan itu.
Persoalan yang terus-menerus timbul di benak rakyat Malaysia ialah:
“Apakah perkhidmatan awam belajar daripada kelemahan-kelemahan yang
dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara?” Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), sebagai jawatankuasa yang secara
tradisinya adalah yang paling berkuasa di Parlimen, perlu bertindak
lebih daripada sekadar mempertimbangkan penemuan-penemuan dalam laporan
Ketua Audit Negara.
Di negara lain, menteri dan kakitangan awam akan menggigil jika
mereka dipanggil oleh PAC untuk menjelaskan sesuatu yang tidak kena
dalam membelanjakan wang yang diperuntukkan kepada mereka.
Sejak zaman Tan Sri Ahmad Nordin Zakaria lagi, jawatan Ketua Audit
Negara telah teruji. Pujian perlu diberikan kepada kerajaan kerana tidak
mengusik laporan audit dan menerbitkannya seadanya. Bagaimanapun, setidak-tidaknya di mata orang awam, satu perkara yang
sentiasa gagal dilakukan ialah mengambil tindakan terhadap pihak yang
terlibat.
SPRM perlu bersikap pro-aktif dan menjalankan penyiasatan ke atas
pihak yang bukan saja menggelembungkan harga barangan yang dibeli, malah
juga menerima rasuah dalam proses itu. Perbuatan ini adalah korupsi
terang-terangan yang menelan wang pembayar cukai.
Usaha mengurangkan subsidi kerajaan bagi barang-barang asasi dan
seruan terhadap rakyat untuk berjimat-cermat tidak bermakna jika
pembaziran dan kebocoran yang terang-terangan ini berlaku terus
dibiarkan.
Oleh WONG CHUN WAI, mStar Online
sedih dan terkilan juga bila dapat tau macam2 hasil audit... selain melaporkan sesuatu perlu dilakukan juga kan?
ReplyDeleteterang lagi bersuluh........tapi apa yg kerajaan buat utk atasi semua nie, audit tahun depan sure sama mcm ni gak
Delete