- Back to Home »
- Fakta/Auta »
- Sejarah dan Asal-Usul April Fool
Posted by : Unknown
02 April 2011
April sememangnya sinonim dengan perayaan April Fool di barat. Sejarah dan asal-usul Perayaan April Fool juga selalu dikatakan bermula dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan iaitu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tahun 1487 bersamaan dengan 892 H akibat diserang tentera-tentera Kristian setelah berkurun-kurun lamanya Islam bertapak di Granada. [artikel penuh klik sini]
Persoalannya, adakah fakta sejarah tersebut sahih atau tidak?
Kadangkala dalam keghairahan sesetengah orang Islam untuk membuang unsur-unsur bukan Islam dalam budaya dan aktiviti harian, ada yang mereka-reka cerita untuk menguatkan hujah bahawa sesuatu aktiviti itu adalah tidak Islamik (contohnya asal-usul April Fools). Bukan bermaksud ingin mengatakan bahawa cerita asal-usul April Fool tersebut adalah rekaan, cuma tidak ada bukti sejarah mengenainya.
April Fool ini sebenarnya berasal dari penukaran Tahun Baru kalendar Gregorian (Masihi) dari 1 April ke 1 Januari pada tahun 1564, manakala jatuhnya kerajaan Islam Granada ke tangan Kristian adalah pada 2 Januari 1492.Dengan menghebahkan cerita yang tidak berasaskan kepada fakta ini, niat baik untuk meningkatkan iman dan kualiti keIslaman seseorang Muslim itu sebaliknya menyebabkan Islam semakin dicurigai, ditertawakan dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam.
Bukti akan merbahayanya cerita-cerita sebegini ialah apabila Answering Islam, suatu laman web yang mempromosikan ajaran Kristian dan selalu memperkecilkan agama Islam, telah menggunakan cerita April Fool (versi Granada) ini untuk menguatkan hujahnya bahawa Islam itu adalah didokong oleh manusia-manusia yang paranoid (takut bayang-bayang sendiri) dan didirikan atas dasar kebencian dan permusuhan. Walaubagaimanapun, website tersebut sudah dihapuskan.
Internet adalah suatu kuasa yang sangat kuat. Jika digunakan dengan bijak, ia boleh menolong menyebarkan keindahan Islam kepada manusia sejagat, tetapi kalau digunakan untuk menyebarkan cerita-cerita separuh benar dan khabar-khabar angin, ia boleh menjauhkan manusia dari Islam.
Jikalau berhadapan dengan cerita-cerita seperti asal-usul April Fool ini, periksalah dulu kesahihannya. Tanyalah mereka yang lebih mengetahui misalnya pakar sejarah dan ustaz-ustaz supaya kita sendiri tidak terkena 'fool' dek sejarah April Fool dan menjadi bahan ketawa masyarakat bukan Islam. Janganlah menjadi sumber penyebaran pembohongan dan fitnah.
Walaubagaimanapun, samada sejarah tersebut sahih atau tidak, perayaan April Fool tetap tidak boleh disambut atau diperbesar-besarkan oleh orang-orang Islam kerana ia mempunyai unsur-unsur tipuhelah, ketidakjujuran dan boleh merosakkan hubungan silaturahim sesama kita yang mana kesemuanya ini adalah bukan nilai murni dalam Islam.
Sehebat mana kita mengkaji dan berfikir, Allah tetap Maha Mengetahui. Wallahu'alam....