Malam tadi merupakan penamat kepada penantian terhadap model kompak generasi terbaharu Perodua Myvi, dilancarkan pada jam 9.00 malam oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putra World Trade Centre (PWTC).
Kesemua model terbaru Myvi 2011 dilengkapi enjin 1.3 liter, di mana enjin 1.0 liter telah digugurkan dari senarai. Antara faktor kenapa Perodua tidak lagi menawarkan Myvi 1.0 liter ialah sambutan dan minat yang kurang dari pembeli, terutamanya disebabkan pengurangan kuasa enjin yang ketara berbanding model 1.3, selain tahap penggunaan petrol yang kurang efisien.
Perodua Myvi Elegance merupakan varian dengan spesifikasi paling tinggi berbanding dua varian lain iaitu Premium dan Standard. Ukur panjang Myvi baru ini 3765mm, lebar 1665mm dan tinggi 1545mm. Jarak titik rodanya pula sepanjang 2440mm. Berat kering (kerb weight) Myvi Elegance bagi versi SXE (manual) ialah 975kg manakala versi EZE (automatik) ialah 985kg, perbezaan sebanyak 10kg.
Beralih ke bahagian teknikal yang agak kontroversi, ramai yang salah faham apabila menyangka Perodua Myvi baharu menggunakan enjin baru seperti Daihatsu Boon 2010 atau Toyota Passo 2010. Hakikatnya Perodua Myvi generasi kedua ini masih menggunakan enjin lama dengan kod K3-VE, DOHC 16 Valve dengan sistem DVVT. Kuasa kuda yang dihasilkan sebanyak 90hp@6,000rpm dan tork maksimum terhasil pada angka 117Nm@4,400rpm. Sistem transmisi kekal serupa, manual 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan.
Enjin lama dengan sistem Electronic Fuel Injection (EFI) ini sebenarnya masih lagi bagus, di mana menurut Perodua tahap ekonomi bahan apinya adalah lebih menjimatkan berbanding model Myvi sebelumnya. Semua itu disumbangkan oleh faktor rekabentuk Myvi baru yang lebih aerodinamik dan bersaiz lebih kompak. Kapasiti tangki minyak pula boleh diisi maksimum 40 liter, lebih dari cukup untuk perjalanan yang agak jauh.
Sistem brek tiada sebarang perubahan, masih mengekalkan brek cakera di depan dan brek drum di belakang. Cuma saya berharap tahap pemberhentian Perodua Myvi baharu ini terutamanya untuk versi high-line Elegance, daya cengkaman breknya lebih baik dan streng tidak akan bergegar apabila dibrek dengan kuat dan secara tiba-tiba. Sistem suspensi seperti yang ditulis di dalam brochure adalah seperti berikut ; Front – MacPherson Strut with coil spring; Rear – Torsion Beam with coil spring. Apa pun, saya merasa selesa dengan Myvi lama, jadi sudah pasti Myvi Elegance akan memberikan perasaan yang sama (atau mungkin lebih baik).
Masih lagi di bahagian luaran (exterior), antara perubahan utama yang dapat dikesan sekilas pandang ialah lampu utama di depan. Kali ini lampu utama dilengkapi lampu jenis projektor dan rekabentuknya bagi saya sangat menarik dan sporty. Ianya juga tersedia lampu kabus di bahagian bampar di bawah lampu utama. Cermin sisi menampilkan teknologi terbaru untuk model Myvi, apabila ia kini boleh dilipat secara elektronik, juga tersedia lampu isyarat untuk membelok.
Antara yang terbaru pada Myvi Elegance ini merupakan pemasangan lapisan penebat haba (tinted film) untuk semua cermin. Menurut Perodua, ianya memberikan perlindungan dari sinar Infra Red, Visible Light (VL) dan Ultra Violet (UV) dengan berkesan, di samping memberikan lebih perlindungan dan suasana di dalam kabin lebih nyaman.
Antara ciri-ciri lain di bahagian luaran Perodua Myvi Elegance seperti pemegang pintu di bahagian luar dengan warna krom, spoiler belakang bergaya, kombinasi lampu belakang menarik dengan rekaan baru, skirting depan, tepi dan belakang, ‘side door moulding’ di sisi pintu, dan tiang pillar diwarnakan hitam untuk gaya lebih sporty. Tidak dilupakan rim aloi bersaiz 14 inci disaluti tayar dari siri 175/65 R14. Bagi saya bahagian luaran Myvi Elegance sangat bergaya, sporty dan menampilkan ciri-ciri lebih maskulin.
Menyentuh bahagian dalam (interior) seperti mana yang diwar-warkan oleh Perodua sebagai ciri utama yang bakal menarik minat pembeli, papan pemuka kini berwajah baru dengan rekaan lebih menarik dan mempunyai dua tona warna. Versi automatik memperlihatkan tuil gear diletakkan pada posisi di papan pemuka dan dilengkapi butang pelepasan dan kunci (Dash-mounted Gear Shift & Shift Lock Release Button).
Kedudukan tuil gear bagi versi manual masih sama seperti model Myvi lama, namun apa yang saya rasa agak ‘kurang’ ialah apabila ruang kosong di bahagian gear untuk versi automatik telah dikosongkan untuk versi manual. Bagi saya adalah lebih ‘cantik’ jika ruang tersebut ditutup sepenuhnya, atau diisi dengan peralatan lain. Mungkin Perodua ada sebab-sebab tertentu, atau ruang kosong itu sendiri ada fungsinya yang tersendiri.
Bahagian paling menarik sudah pastinya di bahagian meter dengan gaya baru hasil kombinasi meter optitron dengan kesan 3D. Warna biru kehijauan yang dipaparkan terang terasa amat sesuai sekali bagi meninggalkan kesan pandangan yang menyenangkan, terutamanya apabila memandu di waktu malam. Nasib baik Perodua tidak melakukan uji kaji dengan meletakkan meter speedometer di tengah-tengah papan pemuka seperti Toyota Vios, jadi posisi dan rekaan konsol tengah kali ini bagi saya lebih menarik berbanding model Myvi terdahulu.
Antara ciri-ciri menarik dan terbaru di bahagian meter kali ini ialah terdapat penunjuk jumlah baki petrol dan berapa jauh perjalanan boleh dilakukan dengan baki petrol tersebut, sesuatu yang amat berguna untuk pemandu. Pemegang pintu di bahagian dalam yang digunakan untuk membuka pintu menampilkan citarasa mewah, disaluti krom dan bahagian perehat tangan diberikan kesan ‘carbon fibre’.
Perodua Myvi Elegance dilengkapi kusyen berbalut kulit, menampilkan citarasa premium dan keselesaan pada tahap maksimum untuk pemandu dan penumpang di dalamnya. Beg udara (airbag) dibekalkan standard bagi semua jenis varian untuk pemandu dan penumpang depan. Suis power window untuk keempat-empat cermin juga merupakan peralatan standard, dan apa yang saya harapkan kali ini ianya lebih berkualiti dan tidak mudah rosak. Perodua Myvi versi 2005-2010 sangat ‘familiar’ dengan kerosakan suis di setiap bahagian pintu, termasuk suis utama berdekatan pemandu.
Selain itu, Perodua Myvi versi Elegance ini turut menampilkan kelainan apabila tampil buat pertama kali dengan panel skrin sesentuh multimedia pelbagai fungsi bersaiz 6 inci dengan keupayaan sistem GPS terbina dalam, pemain DVD, Bluetooth dengan fungsi bebas tangan, teknologi SRS, TruBASS dan FOCUS serta mempunyai port penyambungan USB yang begitu popular ketika ini. Merujuk kepada brochure, karpet di bahagian lantai turut tidak dilupakan Perodua apabila tampil dengan rekaan eksklusif. Di bahagian pemandu, karpet tersebut disediakan dua skru untuk mengunci karpet tersebut agar ianya tidak beralih dari kedudukan asalnya, memang bijak.
Ciri baru lain seperti pengendalian pemanduan yang kini dibantu dengan teknologi ‘Electric Power Steering’ (EPS), yang mana teknologi tersebut membantu pengendalian dengan lebih cemerlang dan stabil pada kelajuan tinggi. Apa yang saya faham, pada kelajuan tinggi, stereng tidak akan bergegar, menjadi lebih berat dan membantu kereta menjadi lebih stabil, seterusnya menjadikan pemanduan lebih selesa dan menyeronokkan.
Untuk bahagian keselamatan, Perodua myvi Elegance tampil dengan sistem ABS (Anti-Skid Braking System) bersama EBD (Electronic Brake-force Distribution) dan BA (Brake Assist). Ianya turut dilengkapi sistem anti pencuri apabila dipasang standard sistem penggera dan immobiliser. Selain itu di bahagian dalam, terdapat sistem ‘ISOFIX child restraint’ untuk keselamatan kanak-kanak.
Untuk makluman anda, ruang bagasi dibelakang untuk model Perodua Myvi 2011 kini hanya seluas 208 liter berbanding 225 liter untuk Myvi lama, bermakna pengurangan ruang simpanan barang-barang sehingga 17 liter. Menurut Perodua, perubahan tersebut disebabkan oleh apa yang dikatakan Perodua sebagai “increased couple distance (front to rear) and thicker padding for the rear seats”.
Perodua Myvi Elegance tersedia tiga jenis warna sama ada solid atau metalik, antaranya Mystical Purple (metalik), Ebony Black (metalik), dan Ivory White (solid). Namun jika anda berminat dengan warna Mystical Puple yang menawan itu, anda perlu menunggunya sehingga bulan Ogos depan, buat masa sekarang warna tersebut masih belum dikeluarkan.
Harga paling terbaru untuk Perodua Myvi Elegance seperti berikut ;
1) Perodua Myvi Elegance SXE (M) Solid – RM53,900.00
2) Perodua Myvi Elegance SXE (M) Metalik – RM54,400.00
3) Perodua Myvi Elegance EZE (A) Solid – RM56,900.00
4) Perodua Myvi Elegance EZE (A) Metalik – RM57,400.00
Jika berminat, apa yang perlu anda lakukan kini hanyalah dengan mengatur langkah pertama menuju ke bilik pameran Perodua esok. Majlis pelancaran rasmi Perodua Myvi 2011 baharu sudah selamat disempurnakan oleh TPM di PWTC, esok tiba masanya untuk kita semua melihat dengan lebih dekat pengganti bagi model terlaris 5 tahun berturut-turut itu.
artikel asal : ArenaKereta