Posted by : Unknown
28 February 2013
SINGAPURA: Robert Kuok kekal sebagai orang terkaya
Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$12.5 bilion (RM38.63 bilion),
demikian menurut senarai terkini orang terkaya Forbes. Malaysia juga kini mencatatkan kekayaan bernilai 14 bilion dolar, melonjak daripada 11 setahun yang lepas.
Indeks Komposit Kuala Lumpur telah bergerak naik empat peratus sejak
tahun lepas dan dalam tempoh itu, keluaran dalam negara kasar negara
mengukuh 6.4 peratus. Dalam proses itu, seramai 23 taikun di senarai itu menyaksikan
kekayaan mereka meningkat dengan Robert Kuok mendahuluinya untuk lapan
tahun berturut-turut dengan kekayaan bersih AS$12.5 bilion. Pegangannya termasuk Shangri-La Hotels, Kerry Properties dan the
South China Morning Post, akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di Hong
Kong.
Tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menyaksikan kekayaannya
meningkat daripada US$9.9 bilion pada 2012 kepada AS$11.7 bilion tahun
ini. Antara urus niaga terbaru yang menambahkan kepada kekayaannya ialah
penjualan kepentingan dalam syarikat telekom gergasi Maxis dan
penyenaraian syarikat pengendali TV berbayar Astro, yang dijadikan
persendirian pada tahun 2010 dan mengumpul US$1.5 bilion dalam proses
ini.
Lim Kok Thay, anak lelaki kepada usahawan kasino terkenal, mendiang
Lim Goh Tong pula mengendalikan Genting Group dengan rangkaian resort
dan kasino di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Filipina dan United
Kingdom dan 43 peratus kepentingan dalam Norwegian Cruise Line. Beliau berkongsi kekayaan bersihnya yang bernilai AS$6.6 bilion itu
dengan ibunya, Lee Kim Hua yang berusia 82 tahun dan anggota keluarganya
yang lain.
Senarai 50 orang terkaya di Malaysia tahun ini termasuklah sembilan anggota baru.
Antara bilionair yang pertama kali memasuki senarai ialah taikun auto
Tan Heng Chew dan keluarganya yang menduduki tempat ke-11 dengan
kekayaan bernilai AS$1.2 bilion. Keluarga itu memiliki Tan Chong Motor Holdings yang memasang
kenderaan bermotor, menghasilkan alat ganti dan berurus niaga
kelengkapan perindustrian dan barangan pengguna.
Shahril dan Shahriman Shamsuddin, adik beradik di belakang kejayaan
Sapura Group, turut memasuki ranking bilionair selepas penggabungan
bernilai AS$3.7 bilion antara SapuraCrest dan Kencana Petroleum
(dikendali oleh Mokhzani Mahathir, di tangga ke-15 dengan AS$980 juta). Kedua-dua adik beradik itu muncul di tangga ke-12 dengan harta bernilai AS$1.05 bilion, naik daripada AS$845 juta tahun lepas.
Tahun lepas merupakan tahun bertuah untuk taikun perjudian, Chen Lip
Keong, yang mengasaskan kumpulan kasino Kemboja, NagaCorp, yang telah
mengaut keuntungan daripada hasil perniagaan itu.
NagaCorp menguasai secara monopoli kasino-kasino di Phnom Penh
sehingga 2035. Beliau turut menceburi bidang perhotelan, restoran,
runcit dan kompleks hiburan yang sedia untuk siap pada 2015.
Tahun ini, minimum bersih bernilai AS$145 juta diperlukan untuk layak
dalam senarai itu yang dikumpul menggunakan maklumat pegangan saham
dan maklumat kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu,
bursa saham, penganalisis, pangkalan data persendirian, Suruhanjaya
Syarikat Malaysia dan sumber-sumber lain.
Angka bersih adalah berdasarkan kepada harga pasaran dan kadar tukaran pada penutup pasaran 14 Februari 2013.
Syarikat-syarikat persendirian dinilai menggunakan nisbah kewangan
dan perbandingan lain dengan syarikat-syarikat serupa yang diniagakan
awam.
Senarai 14 orang terkaya Forbes di Malaysia ialah:
1) Robert Kuok - AS$12.5 bilion,
2) Ananda Krishnan - AS$11.7 bilion
3) Lim Kok Thay - AS$6.6 bilion
4) Teh Hong Piow - AS$5.6 bilion
5) Quek Leng Chan - AS$4.8 bilion
6) Lee Shin Cheng - AS$4.5 bilion
7) Yeoh Tiong Lay - AS$2.8 bilion
8) Syed Mokhtar AlBukhary - AS$2.75 bilion
9) Tiong Hiew King - AS$1.8 bilion
10)Vincent Tan - AS$1.3 bilion
11)Tan Heng Chew - AS$1.2 bilion
12)Shahril & Shahriman Shamsuddin - AS$1.05 bilion
13)Chen Lip Keong - AS$1.01 bilion
14)Lee Oi Hian & Lee Hau Hian - AS$1 bilion
Senarai penuh boleh dilihat di www.forbes.com/malaysia, serta keluaran terbaru Forbes Asia. - BERNAMA